Thursday, May 13, 2010

Potong kuku dan rambut dalam keadaan hadas besar


Assalamualaikum ustaz,

Bolehkah seorang perempuan yang sedang dalam haid atau hadas besar memotong kuku dan memotong rambut?

Jawapan:


الحمدلله رب العالمين و الصلاة و السلام علي أشرف الأنبياء و المرسلين

:وعلي آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلي يوم الدين ، أما بعد

Mengikut Syeikh Soleh Munjid, permasalahan ini biasanya timbul daripada fahaman salah bahawa kuku dan rambut yang dipotong dalam keadaan seseorang sedang berjunub, haid atau nifas akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tidak suci. Fahaman ini adalah tidak benar. Sebenarnya tiada dalil yang mengharamkan seseorang memotong kuku dan seumpamanya ketika dia sedang berjunub, haid atau nifas.

Dalam kitab fatwa "فتاوى نور على الدرب" oleh syeikh Ibnu Uthaimin, bahawa beliau pernah ditanya seperti berikut:
" سمعت بأن مَشط الشعر لا يجوز أثناء الحيض ، ولا قص الأظافر والغسل ، فهل هذا صحيح أم لا ؟
Maksudnya:
Saya mendengar bahawa menyikat rambut, memotong kuku dan mandi tidak harus waktu haid, adakah pandangan ini betul atau salah?

Syeikh menjawab:
هذا ليس بصحيح ، فالحائض يجوز لها قص أظافرها ومشط رأسها ، ويجوز أن تغتسل من الجنابة
Maksudnya: Pandangan tersebut adalah tidak benar. Wanita haid harus baginya memotong kuku, menyikat rambut dan juga harus baginya mandi ketika berjunub.

Sebagai kesimpulan, adalah harus bagi orang yang sedang berjunub, haid dan nifas memotong kuku, rambut dan seumpamanya. Tiada dalil sahih dan tiada pandangan ulama-ulama mazhab muktabar yang mengharamkan perbuatan tersebut.

Sekian والله أعلم

Rujukan:
1) Islamonline
2) http://www.islam-qa.com/ar/ref/101285

Disediakan oleh:
Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

No comments:

Post a Comment