Thursday, January 14, 2010

Ayat Ar-Ruqyah Asy-Syar-‘iyyah

sumber: http://www.alfaatihwalkhaatim.blogspot.com/


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين حمدا كثيرا كما أمر. والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا ومولانا محمد المختار, وعلى آله وأصحابه الأخيار. أما بعد,

قال الله تعالى فى كتابه العزيز : وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ. صدق الله العظيم

وقال سيدنا مصطفى صلى الله عليه وسلم : مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً. صدق رسول الله صلى الله عليه وسلم

Atas permintaan sahabat saya maka saya coretkan sedikit info berkaitan ayat-ayat Al-Ruqyatul Syari-‘iyyah. Bukanlah saya ini ahli/mahir dalam bidang ini, hanya sebagai memenuhi permintaan sahabat saya jua. Sekiranya terdapat salah dan silap harap saudara-saudari sudi-sudilah memperbetulkan ke jalan yang sebenar setelah diteliti dengan cermat.

Apakah itu Ar-Ruqyah Asy-Syar-‘iyyah الرقية الشرعية) ), mungkin ada yang pernah mendengarnya dan mungkin ada yang tak pernah mendengarnya. Di sini saya akan menerangkan secara ringkas apakah itu Ayat Ruqyah, sedikit manfaat darinya dan cara-cara mengamalkannya.

1) Makna Al-Ruqyah Al-Syar-‘iyyah :-

Al-Ruqyah الرقية itu bermaksud jampi daripada perkataan Raqa رقى

Al-Syar-‘iyyah الشرعية itu bermaksud yang dibangsa kepada syarak daripada perkataan syara-‘a شرع

Jadi, makna Al-Ruqyah Al-Syari-‘iyyah الرقية الشرعية itu ialah jampi yang dibangsa kepada syarak.

2) Sumber Ayat-Ayat Al-Ruqyah Al-Syar-‘iyyah = Al-Quranul Karim

3) Penjelasan mengenai Ayat Al-Ruqyah Al-Syar-‘iyyah :

Bahawasanya ayat-ayat ruqyah ini banyak dan terdapat dalam bermacam-macam kaifiat(cara baca). Anda mungkin melihat kaifiat ayat ruqyah daripada Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki di dalam kitabnya Al-Aurad Al-Zainiyyah Al-Makkiyyah dan daripada Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, pengasas Darus-Syifak di dalam kitabnya Ikhtiar Penyembuhan Penyakit Dengan Ayat-Ayat dan Doa Mustajab, berbeza dengan kaifiat Ayat Ruqyah yang saya nyatakan di sini. Sesetengah Ayat Ruqyah yang terdapat dalam kitab mereka mungkin tidak terdapat dalam risalah saya ini dan sesetengah Ayat Ruqyah yang terdapat di dalam risalah saya ini tidak terdapat di dalam kitab mereka.

Begitu juga penyusunan ayat dan cara bacaannya mungkin tidak selari. Ayat-Ayat Ruqyah yang saya naqalkan di sini mengikut kaedah yang digunakan oleh Ust Abd Malek,pengasas Pusat Perubatan Islam Darul Hikmah,Alor Setar, Kedah.

Jadi saya harap saudara-saudari tidak terkeliru jika terjumpa Ayat-Ayat Ruqyah yang berbeza ayatnyan, susunannya, dan cara bacaannya daripada yang saya nyatakan ini.

4) Faedah Mengamalkan Ayat Al-Ruqyah Al-Syar-‘iyyah :

Di sini saya naqalkan perkataan ulamak mengenai faedah mengamalkan Ayat Al-Ruqyah Al-Syar-‘iyyah ini. Telah berkata guru kami Al-Alim Al-Allamah As-Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki,

Ayat Al-Ruqyah Al-Syar-‘iyyah ini di amalkan untuk keselamatan diri daripada gangguan makhluk-makhluk halus, dan sekiranya seseorang itu dirasuk syaitan, baca ayat ini kepada orang itu maka kita akan dapat berbicara dengan makhluk tersebut dan dapat mengusirnya keluar daripada tubuh orang yang dirasuk itu. Wallahu A-‘alam.

Dan telah berkata tokoh perubatan Islam serta ulamak besar Malaysia yang tidak asing lagi bagi kita, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din di dalam bukunya, Menjawab Persoalan Makhluk Halus, Kaitannya dengan Penyakit dan Pengubatannya :

Menghindarkan diri daripada suatu yang tidak diingini diistilahkan sebagai Al-Wiqayah, Al-Wiqayah adalah suatu yang dituntut oleh Islam, seperti selalu yang diungkapkan oleh kata-kata hikmah iaitu, Menjaga Diri Sebelum Berlakunya Sesuatu Yang Tidak Diingini Seperti Penyakit Adalah Lebih Baik Daripada Mengubati Penyakit.

Islam menyarankan pelbagai cara kepada manusia untuk menghindarkan diri daripada terkena perbuatan sihir. Dalam Al-Quran terdapat surah tertentu yang dibaca oleh masyarakat kita sebagai pelindung. Surah ini dikenali dengan istilah Al-Mu-‘awwizaat atau tiga surah terakhir daripada Al-Quran, iaitu Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas.

Kita dianjurkan mengamalkannya sebagai satu ikhtiar untuk menghindarkan diri daripada terkena sihir. Di samping itu banyak lagi ayat-ayat lain boleh diamalkan seperti Ayatul Kursi.

Kita hendaklah sentiasa mendampingi Allah Subhanahu Wa Taala, menghiasi diri dengan melakukan amal kebajikan serta menghindar diri daripada melakukan maksiat. Ikhtiar sebegini adalah cara terbaik untuk menghindari diri daripada syaitan, sihir dan niat jahat manusia.

Al-Wiqayah merupakan cara paling berkesan untuk mengelakkan diri terkena sihir kerana jika sudah terkena, sukar untuk menghilangkannya. Semakin lama penyakit tersebut dalam diri manusia, semakin sukar dirawat.” - Intaha.

Di dalam buku yang sama ketika ditanya, Bagaimanakah Ikhtiar Yang Dibenarkan Syarak Untuk Mengubati Pesakit Yang Terkena Sihir, beliau menjawab :-

Penyakit yang disebabkan oleh sihir berlaku di alam rohani. Kebanyakan sihir di lakukan secara tersembunyi, khususnya pada waktu malam. Sihir diamalkan secara terselindung, maka sudah tentu tidak mudah untuk mengubatinya.

Antara ikhtiar untuk mengubati sihir adalah seperti berikut :

Menggunakan ayat-ayat Al-Quran untuk menentang sihir seperti yang telah saya(Tuan Guru Haron Din) sebutkan sebelum ini. Terdapat banyak ayat Al-Quran menyentuh tentang sihir yang berlaku di alam kehidupan manusia. Contohnya ialah apabila sihir berlaku secara berleluasa pada zaman Nabi Allah Musa Alaihis Salam, baginda menghadapi sihir dengan kekuatan jiwa dan meminta bantuan Allah Subhanahu Wa Taala sehingga ahli-ahli sihir kecundang, menyerah kalah dan beriman kepada Nabi Musa Alaihis Salam.

Kitab karangan ulamak muktabar menyarankan kita membaca 11 ayat daripada Surah Al-Baqarah iaitu ayat 1-5, 255-257, tiga ayat terakhir Surah Al-Baqarah.

Ada juga ulamak yang menyarankan agar kita membaca Surah Al-Fatihah, ayat 255 Surah Al-Baqarah, ayat 117-119 Surah Al-A’araf, ayat 79-86 Surah Yunus atau 82-83, ayat 65-69 Surah Thaha, ayat 118 Surah Al-A’araf dan ayat 70 Surah Thaha.

Ayat ini di sarankan agar dibaca oleh orang yang terkena sihir ataupun orang yang mengubati penyakit akibat terkena sihir dengan memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wa Taala.”-Intaha

Oleh yang demikian fahamlah kita disini bahawa pembacaan Ayat-Ayat Ruqyah ini adalah sebagai usaha dan ikhtiar kita untuk perkara-perkara berikut :

1) Mengelak daripada gangguan makhluk halus (jin, syaitan, iblis)

2) Mengelak daripada niat jahat manusia.

3) mengelak daripada sihir.

4) Sebagai benteng pertahan diri kita.

5) Sebagai penyembuhan daripada penyakit-penyakit yang disebabkan oleh gangguan dan sihir.

6) Sebagai salah satu jalan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

7) Sebagai salah satu cara menghindari maksiat kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

Perlu juga saya terangkan di sini bahawa kepada sesiapa yang berhajat untuk mengubati pesakit, perlulah belajar dan mendapat izin, tauliah, ijazah khas daripada guru-guru yang berkaitan. Ayat-Ayat Ruqyah di sini hanya untuk diamalkan oleh diri sendiri sahaja. Sekiranya sakit berlanjutan, anda perlulah berjumpa dengan perawat-perawat Islam yang mahir dengannya.

Keberkesanan amalan ayat-ayat ini bergantung sepenuhnya kepada keikhlasan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Jangan sedikitpun di hati kita ada keraguan kepada pertolongan Allah Taala. Hanya kepada Allah Azza Wa Jalla sahajalah kita bergantung.

وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ.

Dan tiada upaya (untuk mengelak daripada maksiat) dan tiada kekuatan (untuk melakukan ibadat) melainkan dengan (pertolongan) Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung.

وصلى الله على سيدنا محمد و على آله وصحبه وسلم. والحمد لله رب العالمين.

Wednesday, January 6, 2010

أية رقية شرعية

sila KLIK pada imej yg berkenaan utk lebih jelas

















info lanjut berkaitan ayat-ayat Al-Ruqyatul Syari-'iyyah:

http://alfaatihwalkhaatim.blogspot.com/2010/01/ayat-ar-ruqyah-asy-syar-iyyah.html



Monday, January 4, 2010

Ambil iktibar sempena tahun baru

myMetro

FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Asr ayat 1-3: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Sabda Rasulullah SAW: “Daku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada kedua-duanya iaitu kitab Allah SWT (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya.”


Dua perkara penting dalam firman Allah SWT serta sabda Rasulullah SAW berkenaan seolah-olah tidak lagi menjadi pegangan dan panduan umat Islam hari ini, sebaliknya setiap kali melangkah ke tahun baru, yang dipentingkan ialah kehidupan dunia menjadi semakin baik daripada tahun sudah.

Akibatnya, semakin ramai umat Islam terbuai dengan kehidupan duniawi manakala kehidupan abadi di akhirat ditinggalkan.

Jika dilihat, ramai lagi umat Islam dalam dunia ini yang menderita seperti berlaku di Palestin tetapi keimanan mereka tidak terjejas, malah semakin kuat.

Melangkah ke 2010, umat Islam di Malaysia sepatutnya lebih kuat dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan dan sebagainya, tetapi apa yang berlaku kini ialah kita berpecah-belah akibat fahaman sempit masing-masing sedangkan ia sepatutnya tidak berlaku.


Mengapa kita tidak mengikut jejak Rasulullah SAW dalam pelbagai perkara dan lebih teruk lagi menjadikan kehidupan sementara ini batu loncatan bagi mendapatkan kemewahan serta perkara mengasyikkan lain, malah al-Quran dan sunnah baginda juga ditinggalkan begitu saja.

Sepanjang 2009, pelbagai bencana alam melanda dunia dan ia sesungguhnya peringatan daripada Allah SWT bahawa setiap nilai kemewahan, keasyikan serta harta duniawi lain boleh ditarik balik sekelip mata saja tanpa amaran.

Kerana itu, melangkah ke 2010, mari kita merenung sejenak setiap kesalahan atau kesilapan yang kita lakukan dan mengambil iktibar terhadapnya.

Perkara negatif serta mungkar yang boleh mengaibkan diri, masyarakat serta agama yang berlaku tahun lalu hendaklah ditinggalkan dan jangan diulang.

Manakala perkara baik dan makruf, kita teruskan dengan penambahbaikan lagi, mudah-mudahan kita menjadi umat yang diredai Allah SWT.

Firman-Nya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan diperlihatkan (dalam suratan amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan diperlihatkan (dalam suratan amalnya).”

Sabda Rasulullah SAW: “Peliharalah lima perkara sebelum didatangi lima perkara lain iaitu waktu usia muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati.”

Justeru, tekadkan hati, bulatkan azam dan besarkan cita-cita demi masa depan yang lebih gemilang kerana jika kita gagal berubah tahun ini, tidak mustahil kita akan terus gagal untuk masa mendatang.

An-Nur: Lebih mudarat

Oleh ZAHARUDDIN ABD RAHMAN, myMetro

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, Khamis lalu memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan ‘Allah’ tidak sah.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk mengetepikan larangan terbabit. Hakim Lau Bee Lan berkata, arahan oleh Menteri Dalam Negeri itu adalah ‘tidak sah dan batal’.

Menurut Bee Lan, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ dan menegaskan bahawa perkataan itu bukan hanya eksklusif untuk Islam.

Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN akan membolehkan The Herald dan penerbitan bukan Islam lain menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi perkataan ‘Tuhan’ dalam versi Bahasa Melayu mereka.

Hakim Bee Lan berkata, semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan ‘Allah’. Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

SUDUT HUKUM

Petikan di atas adalah sumber berita bertarikh 31 Disember 2009. Isu ini turut menjadi hangat, khususnya apabila beberapa pandangan diberi oleh kumpulan ilmuwan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujah dan nas, demikian juga kumpulan kedua.

Secara asasnya, ini isu cabang dalam bab akidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran. Perbezaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil diutarakan kedua-dua kumpulan, masih membabitkan dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh akan berasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza.

Juga tidak wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Selepas melakukan penilaian terhadap pelbagai hujah, pandangan silam dan kontemporari, secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah SWT.

Antara nas yang paling jelas adalah:

“Dan sesungguhnya, jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!” (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah tuhan yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (al-Zukhruf: 87-88)

Ini hanya satu dalil, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandangan seperti mentafsirkan Allah SWT dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH’ dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi tuhan pencipta secara umum.

Namun, kaedah dalam fiqh memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan khususnya masyarakat jahiliah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS dan Allah SWT sudah difahami merujuk kepada siapa.


Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini. Hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan itu.

Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama ‘Allah’ kepada pengertian lughah (daripada sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan ‘Allah’ secara istilah yang merujuk kepada Allah SWT yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama ‘Allah’ digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita kerana Bible bukan rujukan kita tetapi al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada Bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah, sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Umat Islam hanya merujuk al-Quran dan hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible, apatah lagi menurut keyakinan Islam, Bible yang wujud hari ini bukan sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa SA beribu tahun lalu.

TETAPI...

Namun demikian, itu dalam konteks penelitian dalil dan nas atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari’yyah khususnya bagi mengelak salah guna dan kekeliruan, khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau KDN.

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, Kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin saja berbeza mengikut penilaian masing-masing dan tentunya ia bakal memberi kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru, penggunaan nama ‘Allah’ oleh pihak Kristian, khususnya dalam penulisan mereka, wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.

Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penganut agama Kristian dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama, seterusnya boleh membawa pergaduhan serius jika gagal dikawal.

Lebih-lebih lagi apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu lemah. Keadaan pendakwah bukan Islam yang galak menggunakannya dengan tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama ‘Allah’ dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.

Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang. Sekali lagi perlu diingatkan, perlu dibezakan keputusan hukum dan siyasah syar’iyyah.

Sekuat manapun hujah untuk membenarkan Kristian menggunakan nama ‘Allah’, namun hujah daripada sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan sangat patut dilakukan.

Sama ada ia untuk tempoh tertentu, berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat, seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setiap keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian).

Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah dan ruang konflik antara agama yang mudah ternyala api pergaduhan.

Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap supaya rayuan keputusan yang akan dilakukan oleh KDN berjaya mencapai keputusan sebaiknya.