Friday, February 26, 2010

Hadith Untuk Hari Ini - Yang diHaramkan Masuk Neraka

Assalamualaikum,

Daripada Ibnu Mas'ud r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sukakah engkau semua saya beritahu tentang siapakah orang yang diharamkan masuk neraka atau kepada siapakah neraka itu diharamkan memakannya? Neraka itu diharamkan untuk orang yang dekat pada orang banyak (yakni baik dalam bergaul), lemah-lembut, berhati tenang (tidak gelabah dalam menghadapi sesuatu) serta bersikap mudah (yakni mudah dihampiri untuk diminta pertolongan) ."

(Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.)

1. Bergaul untuk mengeratkan silaturrahim

Maka bergaullah dan janganlah sombong dan menjauhkan diri daripada ahli-ahli keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan. Eratkanlah silaturrahim.

2. Lemah Lembut

Sifat lemah lembut memang ada pada Nabi Muhammad s.a.w. dengan sebab rahmat dari Allah SWTseperti yang di firman olih Allah SWT dalam ayat yang berikut:-

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
Surah A-li 'Imraan, Ayat 159

Ikutlah sifat Nabi s.a.w. yang lemah lembut itu. Bukan saja Nabi Muhammad s.a.w. saja yang bersifat lemah lembut. Yang Maha Lemah Lembut sekali adalah Allah SWT seperti dalam ayat yang berikut:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَتُصْبِحُ الْأَرْضُ مُخْضَرَّةً إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah menurunkan hujan dari langit, lalu menjadilah bumi ini hijau subur (dengan sebabnya)? Sesungguhnya Allah Maha Halus serta lemah-lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan hal-ehwal sekalian makhlukNya).
Surah Al-Hajj, Ayat 63


3. Berhati Tenang

Adalah menjadi tabiat manusia suka terburu-buru untuk melakukan sesuatu, seperti yang difirman oleh Allah SWT dalam ayat yang berikut:

خُلِقَ الْإِنسَانُ مِنْ عَجَلٍ سَأُرِيكُمْ آيَاتِي فَلَا تَسْتَعْجِلُونِ
Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya) .
Surah Al-Anbiyaa', Ayat 37

Oleh itu kita hendaklah bersabar dan tenangkan hati dalam segala hal dan urusan kerana dengan terburu-buru itulah kita mengikut hasutan Syaitan (yang direjam) seperti yang difirman oleh Allah SWT dalam ayat yang berikut:

وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الأَمْرُ إِنَّ اللّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدتُّكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُم مِّن سُلْطَانٍ إِلاَّ أَن دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلاَ تَلُومُونِي وَلُومُواْ أَنفُسَكُم مَّا أَنَاْ بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنتُمْ بِمُصْرِخِيَّ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِن قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya". Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
Surah Ibrahim, Ayat 22

4. Bersikap Mudah

Sekiranya kita bersikap mudah pada orang dan tidak menyusahkan mereka, maka Allah SWT juga akan memberi kemudahan kepada kita, seperti yang disebut di hadith Riwayat Muslim yang berikut:

Hadis Abi Mas'ud r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada seorang lelaki dari umat sebelum kamu, diperhitungkan amalannya, maka tidak ada satu pun kebaikan melainkan beliau banyak memberi hutang kepada orang ramai kerana beliau adalah seorang yang kaya. Beliau menyuruh para pembantunya agar memberi kemudahan terhadap orang yang dalam kesukaran. Maka Allah s.w.t berfirman: Kami lebih berhak berbuat begitu daripada beliau. Berilah kemudahan kepada beliau.
(Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 2921)

Jadi kalau tak mahu masuk neraka atau dimakan oleh neraka, amalkanlah nasihat yang telah diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam hadith yang bertajuk di atas, iaitu bergaul sambil mengeratkan silaturahim, bersikap lemah lembut, jangan terburu-buru melakukan sesuatu dan jangan menyusahkan orang tapi memudahkan untuk mereka.

Wallahu'alam.

Wednesday, February 24, 2010

Hadith Untuk Hari Ini - Hapuskan Sifat Dendam

Assalamualaikum.

Daripada Aisyah r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. itu sama sekali tidak pernah memukul dengan tangannya, baik terhadap seseorang wanita ataupun khadamnya, melainkan di waktu beliau s.a.w. sedang berjihad fi-sabilillah (yakni di medan pertempuran melawan kaum kafir). Tidak pernah pula beliau s.a.w. itu terkena sesuatu yang menyakiti, lalu memberikan pembalasan kepada orang yang berbuat terhadap beliau itu, kecuali jikalau ada sesuatu dari larangan (larangan Allah yang dilanggar), maka beliau memberikan pembalasan kerana mengharapkan keredhaan Allah Ta'ala."
(Riwayat Muslim)

Oleh itu janganlah kita menyimpan dan membalas demdan terhadap orang-orang yang telah menyakiti kita, samada secara fifikal atau perasaan. Maafkan lah mereka seperti yang Allah SWT berfirman dalam ayat 133-134, Surah Ali Imraan yang berikutnya:

وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاء وَالضَّرَّاء وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Wallahu'alam. ..

Hadith Untuk Hari Ini - Menaikkan Darjat

Assalamualaikum,

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sukakah kamu semua kalau saya tunjukkan akan sesuatu amalan yang dapat melebur semua kesalahan dapat menaikkan beberapa darjat?"

Para sahabat menjawab: "Baiklah, ya Rasulullah."

Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Iaitu menyempurnakan wudhu' sekalipun menemui beberapa hal yang tidak disenangi (seperti terlampau dingin dan sebagainya), banyak-nya melangkahkan kaki untuk ke masjid dan menantikan solat sesudah melakukan shalat. Itulah yang dapat disebut ribath, itulah yang disebut ribath"

(Riwayat Muslim)

Satu contoh mengenai dengan menantikan solat sesudah melakukan solat adalah selepas solat Maghrib, kita duduk di masjid untuk mendengar ceramah sambil menunggu ketibaan waktu Ishaq atau pun sekiranya tiada ceramah pada masa itu, kita membaca Al-Quran atau berzikir sementara menunggu masuknya waktu ishaq.

Satu lagi contoh bagi "menyempurnakan" wuduk adalah tidak membazirkan air semasa mengambil wuduk - gunakan air sekadar yang perlu.

Berjalan kaki ke masjid bukan saja menaikkan darjat kita di sisi Tuhan, ia juga adalah baik untuk kesihatan badan kita.

Wallahu'alam. ....

Tuesday, February 23, 2010

Hadith Untuk Hari Ini - cemburu yang digalakkan

Assalamualaikum,

Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Tidak boleh hasad melainkan dua macam perkara, iaitu: seseorang yang dikurniai oleh Allah kepandaian dalam al-Quran, mengertikan dan lain-lain, kemudian ia suka bersembahyang dengan membaca al-Quran itu pada waktu malam dan siang, juga seseorang yang dikurnia oleh Allah akan harta lalu ia menafkahkannya pada waktu malam dan siang." (Muttafaq 'alaih)

Maka sekiranya seseorang Islam itu pandai membaca Al-Quran dan mengerti akan maananya, maka kita patut cemburu kepadanya kerana peluang untuk ia ke syurga adalah lebih tinggi daripada yang tidak tahu membaca dan mengerti maana Al-Quran. Begitu juga sekiranya seseorang itu dikurniakan rezeki yang banyak, maka digunakan harta-hartanya untuk menafkahkannya kepada fakir miskin dan orang-orang yang perlukan pertolongan, maka timbangan amalnya di akhirat kelak akan menambah berat dan peluang untuk memasuki syurga adalah lebih tinggi dari orang yang bakhil yang menggunakan harta-hartanya untuk bersenang-lenang di dunia dan untuk kegunaan dirinya sendiri Dalam ayat 8-9, Surah Al-A'raaf Allah SWT berfirman yang bermaksud:


وَالْوَزْنُ يَوْمَئِذٍ الْحَقُّ فَمَن ثَقُلَتْ مَوَازِينُهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
[8] Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.

وَمَنْ خَفَّتْ مَوَازِينُهُ فَأُوْلَـئِكَ الَّذِينَ خَسِرُواْ أَنفُسَهُم بِمَا كَانُواْ بِآيَاتِنَا يِظْلِمُونَ
[9] Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya).
Surah Al-A'raaf (7)

Wallahu'alam. ..