Wednesday, October 28, 2009

Adab Seorang Penuntut 3

Alhamdulillahi rabbil alamin. Wassholatu wassalamu ala Rasulillah wa ala alihi wa shohbihi haqqa qadrihi wa miqdarihil azhim. Amma Ba’du,

Pertama sekali saya memohon maaf kerana jika tidak silap saya, saya sudah mengambil cuti raya terlajak...hehe..namun saya rasa anda semua tidak akan mengambil hati dengannya kerana saya tahu semua pelajar MMCY mempunyai hati yang amat lapang dan luas.

Baik, kita sambung artikel yang terdahulu.....

Seperti mana wajib belajar ilmu kelakuan hati, wajib juga belajar dan mengetahui sekelian akhlak-akhlak, perangai-perangai seperti pemurah, penyayang, penakut, berani, takabbur, merendah diri, memelihara dari yang haram dan lain-lain lagi kerana bahawasanya takabbur, dan penakut itu haram, dan tidak dapat memelihara daripadanya melainkan dengan mengetahuinya dan perkara yang melawaninya.

Maka wajiblah atas tiap-tiap manusia mengetahuikan dia dan hanya sesungguhnya telah mengarang oleh as-Sayyid al-Imam al-Ajl al-Syahid Nasiruddin Abul Qosim akan sebuah kitab pada membicarakan akhlak-akhlak iaitu sebaik-baik kitab.

Maka wajiblah atas tiap-tiap orang Islam menjaga akhlak dan kelakuannya. Adapun menjaga perkara yang berlaku pada sesetengah ketika maka iaitu fardhu kifayah seperti solat jenazah dan melawat orang sakit. Maka wajiblah atas pemerintah menyuruh rakyatnya berbuat seperti yang demikian itu.

Maka dikata pada ilmu yang wajib dipelihara oleh setiap orang Islam itu seperti makanan yang tidak dapat kita lari daripadanya. Dan ilmu yang wajib dipelihara pada beberapa ketika itu seperti ubat yang berhajat kepadanya pada beberapa ketika. Adapun ilmu nujum itu menempati tempat penyakit maka belajar akannya adalah haram kerana bahawasanya ilmu nujum itu mudharat tiada memberi manfaat.

Dan bermula kita tidak dapat lari daripada qadha’ dan qadar Allah Taala. Maka sayugia bagi tiap-tiap orang Islam bahawa berdoa memohon kepada Allah pada tiap-tiap waktu dan membaca al-Quran dan bersedekah untuk menolak bala. Dan memohon ampun serta afiat daripada Allah di dunia dan akhirat supaya dipelihara akan dia oleh Allah daripada bala dan penyakit. Maka sesungguhnya sesiapa yang berdoa kepadaNya pasti diperkenankan olehNya.

Maka jika bala itu sudah ditetapkan atas kita dan tidak boleh diubah lagi, akan tetapi meringan akan dia oleh Allah dan memberi kesabaran kepadanya untuk menghadapi semua itu.

Tidaklah haram belajar ilmu nujum untuk mengetahui arah qiblat dan masuknya waktu solat kerana ia menjadi wasilah kepada mengetahui perkara yang fardhu dalam agama.

Adapun mempelajari ilmu perubatan iaitu mengetahui kelakuan tubuh badan maka iaitu harus kerana Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wasallam juga berubat. Dan dihikayat daripada Imam as-Syafie Radhiyallahu Anhu :

"العلم علمان : علم الفقه للأديان و علم الطب للأبدان. وما وراء ذلك بلغة للمجلس."

Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu fiqh untuk agama dan ilmu thib untuk badan. Dan ilmu yang lainnya penyeri majlis jua.

Bermula ilmu itu ialah satu sifat yang menerangkan dengan sifat itu bagi yang mempunyainya oleh perkara-perkara yang disebutkan.

Bermula fiqh itu mengetahui yang halus-halus daripada ilmu.
Berkata Imam Abu Hanifah Radhiyallahu Anhu :
Bermula fiqh itu mengetahui seseorang akan perkara yang hasil baginya daripada kebajikan dan kejahatan.

Dan katanya lagi :
Bukanlah ilmu itu melainkan dengan beramal. Dan amal itu meninggalkan dunia untuk akhirat.

Dan sesungguhnya telah datang oleh beberapa banyak daripada kelebihan ilmu daripada ayat-ayat al-Quran dan Hadis. Setengah daripadanya :

"مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَإِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ."

Sesiapa yang berjalan satu jalan di jalan Allah menuntut padanya akan ilmu. Memperjalan oleh Allah dengannya satu jalan daripada beberapa jalan syurga. Sesungguhnya para malaikat meletak akan sayap-sayapnya kerana redha dengan penuntut ilmu. Dan sesungguhnya seorang Alim itu dipohon ampun baginya setiap yang di langit dan di bumi dan yang berada di dalam air. Dan sesungguhnya kelebihan seorang Alim atas seorang Abid seperti kelebihan bulan purnama atas sekelian bintang-bintang. Sesungguhnya Ulamak itu pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi itu tidak mewariskan Dinar dan tidak Dirham akan tetapi sesungguhnya mewaris oleh mereka akan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, hanya sesungguhnya mengambil habuan yang sempurna.