Monday, January 4, 2010

An-Nur: Lebih mudarat

Oleh ZAHARUDDIN ABD RAHMAN, myMetro

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, Khamis lalu memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan ‘Allah’ tidak sah.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk mengetepikan larangan terbabit. Hakim Lau Bee Lan berkata, arahan oleh Menteri Dalam Negeri itu adalah ‘tidak sah dan batal’.

Menurut Bee Lan, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ dan menegaskan bahawa perkataan itu bukan hanya eksklusif untuk Islam.

Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN akan membolehkan The Herald dan penerbitan bukan Islam lain menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi perkataan ‘Tuhan’ dalam versi Bahasa Melayu mereka.

Hakim Bee Lan berkata, semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan ‘Allah’. Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

SUDUT HUKUM

Petikan di atas adalah sumber berita bertarikh 31 Disember 2009. Isu ini turut menjadi hangat, khususnya apabila beberapa pandangan diberi oleh kumpulan ilmuwan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujah dan nas, demikian juga kumpulan kedua.

Secara asasnya, ini isu cabang dalam bab akidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran. Perbezaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil diutarakan kedua-dua kumpulan, masih membabitkan dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh akan berasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza.

Juga tidak wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Selepas melakukan penilaian terhadap pelbagai hujah, pandangan silam dan kontemporari, secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah SWT.

Antara nas yang paling jelas adalah:

“Dan sesungguhnya, jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!” (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah tuhan yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (al-Zukhruf: 87-88)

Ini hanya satu dalil, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandangan seperti mentafsirkan Allah SWT dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH’ dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi tuhan pencipta secara umum.

Namun, kaedah dalam fiqh memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan khususnya masyarakat jahiliah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS dan Allah SWT sudah difahami merujuk kepada siapa.


Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini. Hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan itu.

Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama ‘Allah’ kepada pengertian lughah (daripada sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan ‘Allah’ secara istilah yang merujuk kepada Allah SWT yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama ‘Allah’ digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita kerana Bible bukan rujukan kita tetapi al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada Bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah, sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Umat Islam hanya merujuk al-Quran dan hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible, apatah lagi menurut keyakinan Islam, Bible yang wujud hari ini bukan sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa SA beribu tahun lalu.

TETAPI...

Namun demikian, itu dalam konteks penelitian dalil dan nas atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari’yyah khususnya bagi mengelak salah guna dan kekeliruan, khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau KDN.

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, Kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin saja berbeza mengikut penilaian masing-masing dan tentunya ia bakal memberi kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru, penggunaan nama ‘Allah’ oleh pihak Kristian, khususnya dalam penulisan mereka, wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.

Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penganut agama Kristian dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama, seterusnya boleh membawa pergaduhan serius jika gagal dikawal.

Lebih-lebih lagi apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu lemah. Keadaan pendakwah bukan Islam yang galak menggunakannya dengan tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama ‘Allah’ dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.

Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang. Sekali lagi perlu diingatkan, perlu dibezakan keputusan hukum dan siyasah syar’iyyah.

Sekuat manapun hujah untuk membenarkan Kristian menggunakan nama ‘Allah’, namun hujah daripada sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan sangat patut dilakukan.

Sama ada ia untuk tempoh tertentu, berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat, seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setiap keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian).

Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah dan ruang konflik antara agama yang mudah ternyala api pergaduhan.

Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap supaya rayuan keputusan yang akan dilakukan oleh KDN berjaya mencapai keputusan sebaiknya.

Monday, December 21, 2009

Nasihat Tabib


بسم الله الرحمـن الرحيم

الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين. وعلى آله وصحبه أجمعين.

Berkata guru bagi guru kami, Al-Alim Al-Allamah Al-Fahhamah Al-Faqih Tuan Guru Hj Chik b Ahmad Al-Qodahi di dalam kitabnya Luqthatul Awrad


Faedah :

Ini nasihat tabib :-


· Tiada harus makan ikan serta susu yakni sebelum empat jam.(yakni makan ikan serta susu bersama atau makan salah satunya dalam masa 4 jam - intaha penyusun)


· Dan tiada harus makan ikan serta telur ayam.


· Tiada harus makan telur serta susu. Atau serta minyak sapi. Atau serta mentega. Kerana mempusaka sakit lumpuh.


· Tiada sayugia makan buah-buah masam serta susu.


· Dan tiada sayugia makan buah-buah serta minum air.


· Dan tiada sayugia makan lebih daripada sekadar kenyang.


· Dan selalu banyak lapar itu menjadi kelabu mata dan tuli dan pening.


· Dan makan daging tiada dim amah lumat-lumat itu jadi tersumbat jalan-jalan dalam perut dan sakit sendi-sendi.


· Dan minum arak itu besar mudharatnya, jadi cedera akal dan rosak jantung, dan jadi lupa dan nyanyuk dan mati mengejut dan tiada ingat kalimah syahadah waktu hendak mati. Na-‘uzubillahi min zaalik.


وصلى الله على سيدنا محمد وآله وصحبه وسلم. والحمد لله رب العالمين.

Jadual Ringkas

Bil.

Makanan

1.

Ikan + susu dalam masa 4 jam.

2.

Ikan + telur ayam

3.

Telur + susu

4.

Telur + minyak sapi

5.

Telur + mentega

6.

Telur + kopi

7.

Susu + buah-buah masam

8.

Buah + minum air

9.

Makan hingga terlalu kenyang

10.

Selalu berlapar

11.

Makan daging tidak kunyah hingga lumat

12.

Minum arak

Wednesday, November 4, 2009

Bahagian Tubuh Paling Bererti....

Ibuku selalu bertanya padaku apa bahagian tubuh yang paling penting. Bertahun-tahun, aku selalu meneka dengan jawapan yang aku anggap benar.

Ketika aku muda, aku fikir suara adalah yang paling penting bagi kita sebagai manusia, jadi aku jawab, "Telinga, Bu." Jawab Ibuku, "Bukan. Ramai orang yang tuli. Tapi, teruslah memikirkannya dan aku menanyakanmu lagi nanti."

Selang beberapa tahun kemudian, dia bertanya padaku lagi. Sejak jawapan pertama, kini aku yakin jawapan kali ini pasti benar. Jadi, kali ini aku mengatakan, "Bu, penglihatan sangat penting bagi semua orang, jadi pastilah mata kita."

Dia memandangku dan berkata, "Kamu belajar dengan cepat, tapi jawapanmu masih salah kerana ramai orang yang buta."

Gagal lagi, aku meneruskan usahaku mencari jawapan baru dandari tahun ke tahun, Ibu terus bertanya padaku beberapa kali dan jawapannya selalu, "Bukan. Tapi, kamu semakin pandai dari tahun ke tahun, anakku."

Akhirnya tahun lalu, datokku meninggal. Semua keluarga bersedih. Semua menangis. Bahkan, ayahku menangis.Aku mengingatinya kerana itulah saat kedua kalinya aku melihatnya menangis. Ibuku memandangku ketika tiba giliranku untuk mengucapkan selamat tinggal pada datok.

Dia bertanya padaku, "Apakah kamu sudah tahu apa bahagian tubuh yang paling penting, sayang?"

Aku terkejut ketika Ibu bertanya pada saat seperti ini. Aku sering berfikir, ini hanyalah permainan antara Ibu dan aku.

Ibu melihat tanda kebingungan diraut wajahku dan memberitahu, "Pertanyaan ini penting. Ini akan menunjukkan padamu apakah kamu sudah benar-benar "hidup". Untuk semua bahagian tubuh yang kamu beritahu padaku dulu, aku selalu berkata kamu salah dan aku telah memberitahu kamu kenapa. Tapi, hari ini adalah hari di mana kamu harus belajar pelajaran yang sangat penting."

Dia memandangkudengan wajah keibuan. Aku melihat matanya penuh dengan airmata. Dia berkata, "Sayangku, bahagian tubuh yang paling penting adalah bahumu."

Aku bertanya, "Apakah kerana fungsinya untuk menahan kepala?" Ibu membalas, "Bukan, tapi kerana bahu dapat menahankepala seorang teman atau orang yang kamu sayangi ketika mereka menangis.

Kadang-kadang dalam hidup ini, semua orang perlu bahu untuk menangis. Aku cuma berharap, kamu punya cukup kasih sayang dan teman-teman agar kamu selalu mempunyai bahu untuk menangis bila- bila pun kamu memerlukannya. "

Akhirnya, aku tahu, bahagian tubuh yang paling penting adalah tidak menjadi orang yang mementingkan diri sendiri. Tetapi, simpati terhadap penderitaan yang dialami oleh orang lain.

Orang akan melupakan apa yang kamu katakan. Orang akan melupakan apa yang kamu lakukan. Tetapi, orang TIDAK akan pernah lupa bagaimana kamu membuat mereka bererti.

Just because the past is painful, Doesn't mean the future will be. So never let events from the past, Change the events for future, or You will be miserable forever..

Kenangan itu kadangkala teramat pahit untuk diredah, tetapi ia terlalu manis untuk dikenang. Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.Andainya hadirnya cinta sekadar untuk mengecewakan, lebih baik cinta itu tak pernah hadir.Kecewa bercinta bukan bermakna dunia sudah berakhir.Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan.Hidup ini indah jika kita tahu menghargainya. .. Tapi ia amat menyakitkan andai kita melaluinya sambil lewa...

Kaedah Boleh Diamal Hindari Mengumpat Jadi Budaya Hidup

dipetik dari Berita Harian
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

MENGUMPAT ialah menceritakan, menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.

Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui orang yang mendengarnya. Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Muslim).

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.

Sabda Rasulullah, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka, akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud, "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah, "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya" . Maka Allah menjawab, "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.

Oleh itu, banyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini.

Antaranya ialah:

l Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

l Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.

l Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:

l Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;

l Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;

l Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;

l Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan

l Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

Wednesday, October 28, 2009

Adab Seorang Penuntut 3

Alhamdulillahi rabbil alamin. Wassholatu wassalamu ala Rasulillah wa ala alihi wa shohbihi haqqa qadrihi wa miqdarihil azhim. Amma Ba’du,

Pertama sekali saya memohon maaf kerana jika tidak silap saya, saya sudah mengambil cuti raya terlajak...hehe..namun saya rasa anda semua tidak akan mengambil hati dengannya kerana saya tahu semua pelajar MMCY mempunyai hati yang amat lapang dan luas.

Baik, kita sambung artikel yang terdahulu.....

Seperti mana wajib belajar ilmu kelakuan hati, wajib juga belajar dan mengetahui sekelian akhlak-akhlak, perangai-perangai seperti pemurah, penyayang, penakut, berani, takabbur, merendah diri, memelihara dari yang haram dan lain-lain lagi kerana bahawasanya takabbur, dan penakut itu haram, dan tidak dapat memelihara daripadanya melainkan dengan mengetahuinya dan perkara yang melawaninya.

Maka wajiblah atas tiap-tiap manusia mengetahuikan dia dan hanya sesungguhnya telah mengarang oleh as-Sayyid al-Imam al-Ajl al-Syahid Nasiruddin Abul Qosim akan sebuah kitab pada membicarakan akhlak-akhlak iaitu sebaik-baik kitab.

Maka wajiblah atas tiap-tiap orang Islam menjaga akhlak dan kelakuannya. Adapun menjaga perkara yang berlaku pada sesetengah ketika maka iaitu fardhu kifayah seperti solat jenazah dan melawat orang sakit. Maka wajiblah atas pemerintah menyuruh rakyatnya berbuat seperti yang demikian itu.

Maka dikata pada ilmu yang wajib dipelihara oleh setiap orang Islam itu seperti makanan yang tidak dapat kita lari daripadanya. Dan ilmu yang wajib dipelihara pada beberapa ketika itu seperti ubat yang berhajat kepadanya pada beberapa ketika. Adapun ilmu nujum itu menempati tempat penyakit maka belajar akannya adalah haram kerana bahawasanya ilmu nujum itu mudharat tiada memberi manfaat.

Dan bermula kita tidak dapat lari daripada qadha’ dan qadar Allah Taala. Maka sayugia bagi tiap-tiap orang Islam bahawa berdoa memohon kepada Allah pada tiap-tiap waktu dan membaca al-Quran dan bersedekah untuk menolak bala. Dan memohon ampun serta afiat daripada Allah di dunia dan akhirat supaya dipelihara akan dia oleh Allah daripada bala dan penyakit. Maka sesungguhnya sesiapa yang berdoa kepadaNya pasti diperkenankan olehNya.

Maka jika bala itu sudah ditetapkan atas kita dan tidak boleh diubah lagi, akan tetapi meringan akan dia oleh Allah dan memberi kesabaran kepadanya untuk menghadapi semua itu.

Tidaklah haram belajar ilmu nujum untuk mengetahui arah qiblat dan masuknya waktu solat kerana ia menjadi wasilah kepada mengetahui perkara yang fardhu dalam agama.

Adapun mempelajari ilmu perubatan iaitu mengetahui kelakuan tubuh badan maka iaitu harus kerana Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wasallam juga berubat. Dan dihikayat daripada Imam as-Syafie Radhiyallahu Anhu :

"العلم علمان : علم الفقه للأديان و علم الطب للأبدان. وما وراء ذلك بلغة للمجلس."

Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu fiqh untuk agama dan ilmu thib untuk badan. Dan ilmu yang lainnya penyeri majlis jua.

Bermula ilmu itu ialah satu sifat yang menerangkan dengan sifat itu bagi yang mempunyainya oleh perkara-perkara yang disebutkan.

Bermula fiqh itu mengetahui yang halus-halus daripada ilmu.
Berkata Imam Abu Hanifah Radhiyallahu Anhu :
Bermula fiqh itu mengetahui seseorang akan perkara yang hasil baginya daripada kebajikan dan kejahatan.

Dan katanya lagi :
Bukanlah ilmu itu melainkan dengan beramal. Dan amal itu meninggalkan dunia untuk akhirat.

Dan sesungguhnya telah datang oleh beberapa banyak daripada kelebihan ilmu daripada ayat-ayat al-Quran dan Hadis. Setengah daripadanya :

"مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَإِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ."

Sesiapa yang berjalan satu jalan di jalan Allah menuntut padanya akan ilmu. Memperjalan oleh Allah dengannya satu jalan daripada beberapa jalan syurga. Sesungguhnya para malaikat meletak akan sayap-sayapnya kerana redha dengan penuntut ilmu. Dan sesungguhnya seorang Alim itu dipohon ampun baginya setiap yang di langit dan di bumi dan yang berada di dalam air. Dan sesungguhnya kelebihan seorang Alim atas seorang Abid seperti kelebihan bulan purnama atas sekelian bintang-bintang. Sesungguhnya Ulamak itu pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi itu tidak mewariskan Dinar dan tidak Dirham akan tetapi sesungguhnya mewaris oleh mereka akan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, hanya sesungguhnya mengambil habuan yang sempurna.