Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam atas Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wasallam dan atas keluarganya dan sahabatnya sekeliannya.
Seperti yang dijanjikan minggu lepas maka saya menyambung artikel ini untuk kali kedua dan yang terakhir di bulan Ramadhon ini kerana minggu depan kita sudah hendak merayakan Idil Fitri. Betapa gembiranya bagi sesiapa yang Berjaya menghabiskan waktu dengan beribadah sepanjang bulan Ramadhon dan pada malam hari raya. Seminggu selepas raya saya memohon cuti daripada tuan/puan (kerana tuan/puan adalah majikan saya) yakni tangguh sementara artikel ini. Dan In-Sya-Allah akan disambung minggu yang berikutnya. Baiklah, inilah sambungannya....
Dan hanya sesungguhnya kemuliaan ilmu itu kerana ia menjadi penghubung kepada takut akan Allah Subhanahu Wa Taala. Berkata Muhammad Ibn al-Hasan Bin Abdullah di dalam sebuah syair :
Belajar olehmu kerana bahawasanya ilmu itu perhiasan bagi empunyanya. #
Dan kelebihan dan tanda bagi sekelian sifat kepujian.
Jadi olehmu menuntuti faedah tiap-tiap hari akan bertambahnya #
Daripada ilmu. Dan berenang olehmu didalam laut segala faedahnya.
Tuntut olehmu akan Fiqh kerana Fiqh terlebih afdhol yang memimpinnya. #
Kepada kebajikan dan takutkan Allah dan yang terlebih benar yang sebenar-benarnya.
Ialah ilmu yang menunjukkan kepada jalan petunjukNya. #
Ialah
Kerana seorang yang Alim pada Fiqh yang Waraknya. #
Terlebih susah atas syaitan daripada seribu AbidNya.
Maksudnya =
Belajarlah olehmu dan tuntutlah olehmu akan ilmu kerana bahawasanya ilmu itu jadi perhiasan bagi orang yang bersifat dengan dia. Dan juga ia jadi kelebihan baginya. Dan jadi tanda bagi sekelian sifat-sifat kepujian lagi diterima di sisi Allah Taala dan manusia.
Dan jadikan olehmu akan diri kamu itu mencari kefahaman dan faedah. Dan tambahlah ilmu pada tiap-tiap hari jangan lupa daripadanya suatu hari pun.
Dan bersungguh-sungguh kamu pada perkara yang didalam laut yang amat dalam dan luas kerana bahawasanya faedah-faedah ilmu itu amat banyak hingga tiada kuasa menghabisinya oleh anak Adam seperti tiada kuasa ia berenang dan mengharungi didalam sekelian laut yang dalam-dalam dan yang luas itu - kerana bahawasanya penghulu kita Sayyidina Muhammad yang terlebih afdhol daripada sekelian Nabi-Nabi berkata baginda didalam doanya :
رَبِّ زِدْنِى عِلْمًا.
“Wahai Tuhanku tambahkanlah akan daku akan ilmu.”
- Padahal Sayyidina Muhammad kita itu bersifat oleh baginda dengan sekelian ilmu orang-orang yang dahulu kala dan orang-orang yang kemudiannya - didalam keadaan seperti ini pun baginda memohon ditambah lagi. Maka apalah kiranya dengan kamu wahai penuntut-penuntut ilmu. Cukupkah dengan ilmu yang kamu dapat sedikit itu padahal ilmu-ilmu kamu itu dengan nisbah kepada ilmu Sayyidina kita seperti satu titik daripada air lautan jua.
Dan belajar olehmu akan ilmu Fiqh kerana bahawasanya ilmu Fiqh itu ialah sebaik-baik ilmu yang memimpin kita dan menarik kita kepada sekelian kebajikan.
Dan yang membawa kita takut akan Allah Taala. Dan adalah ia seadil-adil daripada segala jenis yang adil kerana bahawasanya ia ilmu yang menyatakan sekelian syariah-syariah dan hukum-hukum yang tiada ada zalim pada keduanya sekali-kali.
Dan lagi bahawasnya ilmu Fiqh ialah ilmu yang menunjukkan manusia dengan lemah lembutnya kepada jalan itu yang menyampaikan kepada yang dituntutnya. Dan iaitulah kemenangan dan mencapai kebahagiaan yang berkekalan yang ialah sampai kepada rahmat Allah Taala, dan lemah lembutNya dan kemaafanNya.
Dan diserupakan dengan kota yang menahani dan melepaskan yang menuntutinya dan yang belajarnya daripada sekelian kesusahan dan bala yang masuk didalam jumlahnya jahil dengan suruhan Allah Taala dan tegahan-tegahan Nya kerana bahawasanya jahil dengan kedua-duanya itu sebesar-besar kesusahan dan bala seperti perkara yang tidak dapat disembunyikan lagi - kerana bahawasanya seorang yang pandai dan alim pada ilmu Fiqh lagi yang Warak yakni menjauhi daripada yang Haram dan yang Makruh serta yang Syubhah itu terlebih susah atas syaitan daripada seribu orang yang Abid yakni yang beribadah tanpa ilmu Fiqh kerana bahawasanya orang yang Alim dengan ilmu Fiqh itu menjadi seteru syaitan kerana syaitan itu menyuruh akan manusia dengan kerosakan dan kejahatan dan kufur dan jalan yang salah daripada yang sebenarnya.
Dan bahawasanya yang Alim dengan Fiqh itu menyuruh ia akan manusia dengan iman dan taat dan melepaskan diri dari jalan syaitan serta menuju kepada jalan Allah yang Rahman yang tiada hasil daripada Abid apabila ia tiada Alim dengan Ilmu Fiqh bahkan berbuat ibadah ia atas ketiadaan tetap pada hukumnya.